Minat kerja dakwah sejak di universiti, ini yang Dr Mohd Hizul impikan dalam kalangan profesional

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

 

Dr Mohd Hizul (dua,kanan) ketika berada di Palu, Indonesia menyertai misi kemanusiaan kepada mangsa bencana di sana.

APABILA disebut pendakwah, pastinya terlintas dalam fikiran kita susuk tubuh seorang ustaz atau ustazah yang mendapat tauliah mengajar agama.

Namun sebenarnya, bidang dakwah bukan sepenuhnya didominasi oleh golongan agamawan tetapi terdapat golongan profesional yang menjalankan kegiatan dakwah itu.

Dr Mohd Hizul Azri Md Noor, 49, merupakan doktor perubatan dalam dialisis, mula berkecimpung dalam kegiatan dakwah di negara ini sejak 1996 lagi.

Statusnya sebagai doktor perubatan bukan satu halangan untuknya menyebarkan dakwah kepada masyarakat malah kelebihan yang ada pada diri digunakan sepenuhnya dalam kerja dakwah.

Minatnya dalam kerja dakwah ini sejak di universiti lagi dan selepas tamat pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Padjajaran Bandung, Indonesia, usaha dakwah terus dilaksanakan di Malaysia.

Usaha dakwah saya tertumpu kepada pembentukan generasi belia dan remaja. Bukan sahaja kita mahukan anak muda berilmu yang cemerlang akademiknya tetapi memiliki keperibadian yang tinggi serta mempunyai kerjaya profesional untuk menyumbang kepada masyarakat. Kita nak dia profesional jadi doktor contohnya, doktor yang menyebarkan keimanan selain mengubati penyakit fizikal, boleh merawat penyakit moral, rohani dan mental, katanya.

Dr Mohd Hizul ketika berada di Mesir.

Dakwah bukan mata pencarian

Dalam usaha melahirkan ramai pendakwah dalam kalangan profesional, Dr Mohd Hizul tampil dengan idea menubuhkan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM).

Ditubuhkan pada 2014, sehingga kini YDKMM sudah melahirkan ramai sukarelawan dakwah golongan profesional di empat buah negara termasuk Malaysia.

Menurut Dr Mohd Hizul, stigma masyarakat bahawa agama adalah hak para ustaz atau asatizah perlu diubah dan yayasan mahu menggerakkan perubahan ini dengan menganggap bahawa agama adalah fardu ain.

Semua orang berkewajipan belajar, dalami dan fahami agama. Imam As-Syafie sebagai contoh bukan sahaja sangat pakar dalam agama tetapi merupakan ahli sastera dan ahli perniagaan berjaya, katanya.

Dr Mohd Hizul menunjukkan jadual hafalan peserta Program Tahfiz Intergrasi An-Nur yang diadakan di Seri Manjung.

Malah tambahnya lagi, imam-imam mazhab lain juga merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan disebabkan itu mereka tidak menjadikan tanggungjawab mengajar agama itu sebagai sumber pendapatan.

Pendakwah perlu ada perniagaan yang boleh tampung kehidupan dan dengan itu mereka bebas jalankan kerja-kerja dakwah, katanya.

Beliau berkata, YDKMM mempunyai dua program untuk golongan profesional iaitu Program Tahfiz Integrasi An-Nur dan Kem Huffaz Profesional.

Selamatkan anak muda

Keciciran remaja dalam pendidikan dan akhlak disebabkan ketidakfahaman tentang Islam, al-Quran dan sunah.

Dr Mohd Hizul berkata, statistik anak tidak sah taraf juga membimbangkan dan ia akan turut menambahkan lagi masalah keciciran remaja ini.

Dr Mohd Hizul menyampaikan perkongsian ketika berada di negara Brunei Darussalam.

Beliau berkata, semua pihak punyai tanggungjawab untuk atasi masalah ini sama ada di peringkat keluarga, masyarakat dan juga kerajaan.

Kita mengharapkan masyarakat memberi sokongan penuh kepada usaha yang kami lakukan ini. Kami banyak menghabiskan masa untuk membimbing remaja-remaja ini. Sistem pendidikan kita mungkin ada masalah yang perlu dibetulkan kerana agama makin tidak ditekankan, kalau pun ditekankan hanya sekadar untuk menyampaikan ilmu dan bukan menyampaikan kefahaman. Pelajar mungkin boleh dapat A+ tetapi akhlaknya belum menggambarkan nilai yang dia dapat, katanya.

Oleh itu, yayasan punyai lebih 300 sukarelawan aktif yang bergerak ke sekolah-sekolah untuk membimbing pelajar menerusi program mentoring.

PROFIL

Nama: Dr Mohd Hizul Azri Md Noor
Isteri: Syakirah Mohd Nadzir
Umur: 43
Anak: 8 orang
Asal: Batu Gajah, Perak
Pendidikan:
*Sekolah Kebangsaan Sultan Yusuff, Batu Gajah, Perak
*Penang Free School, Pulau Pinang
*Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin, Pulau Pinang
*Matrikulasi Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
*Universiti Padjajaran Bandung, Indonesia

Jawatan: Pengasas Utama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM)

superadmin

superadmin

Leave a Replay

Recent Posts

Follow Us